Thursday, July 29, 2010

Eksklusif: Isu Kes Penipuan Skim Cepat Kaya Alaf Baru, Kerajaan Perlu Berani Buat Tindakan Dan Jangan Sekadar Bermain Tarik Tali Semata-Mata !

Nampaknya penipuan skim cepat kaya terus berlaku biarpun berbagai langkah dilakukan oleh kerajaan. Jika sebelum ini, kita sangka rakyat akan mula insaf selepas kerajaan mengharamkan "pelaburan saham internet" yang cukup popular beberapa tahun yang lalu. Selepas pengharaman oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu, maka ramai dikalangan mereka yang minat ke arah itu terpaksa mencari alternatif lain untuk bergerak. Maka ramai diantara mereka kembali menyertai syarikat Jualan Langsung yang berkonsepkan Multi Level Marketing (MLM) seperti biasa. Bagi menarik ramai leader-leader terlibat dengan syarikat terbabit maka berbagai kaedah yang ternyata dilarang oleh pihak kerajaan telah dilaksanakan. Malah, mereka bekerjasama pula dengan pihak lain untuk membuat penipuan dan mengaburi mata orang ramai. Senario mutakhir ini, terdapat beberapa kes penipuan yang gagal dikesan oleh kerajaan sebenarnya. Lantaran itulah kami tidak hairan apabila melihat skim cepat kaya muncul kembali dengan versi baru mutakhir ini. Modus operandi mereka tetap sama iaitu untuk menipu dan terus menipu. Mereka menggunakan syarikat jualan langsung yang "hidup segan mati tak mahu" bagi melempiaskan hawa nafsu kecurangan mereka itu. Akhirnya ramai rakyat yang ditipu dengan strategik licik syarikat dan leader-leader terbabit. Namun, kerajaan sendiri gagal mengesan penipuan ini akibat ada kakitangan kementerian yang juga terlibat sebagai proksi kepada suyarikat berkenaan. Mereka bukan sahaja diberikan akaun percuma malahan pergerakan ahli dibawah rangkaian mereka juga diberikan secara percuma. Akhirnya kakitangan terbabit mendapat imbuhan secara "senyap" tanpa dikeahui langsung oleh sesiapa. Inilah yang menyebabkan bila melakukan operasi mereka perlu berhati-hati bagi menjaga "income percuma" yang dimanipulasi oleh syarikat yang berkenaan. Bukan sedikit, terkadang mencecah ke puluhan ribu ringgit setiap bulan sebenarnya.

Gunakan Koperasi Untuk Tarik Pelanggan Baru

Taktik ini banyak dilakukan oleh leader-leader dalam syarikat jualan langsung konvesional atau tradisional. Mereka menawarkan kepada mana-mana ahli baru untuk membuat pinjaman tertentu dengan koperasi terbabit yang kononnya disokong oleh syarikat berkenaan semata-mata untuk mengaut kuntungan. Leader akan mendapat untung yang banyak dan syarikat juga begitu. Sedangkan individu yang terbabit dengan pinjaman berkenaan terpaksa menjual berlambak-lambak produk untuk mendapat kembali modal. Apabila produk tidak laku, maka akhirnya mereka akan terbeban pula dengan masalah hutang pinjaman terbabit yang dipotong menerusi slip gaji melalui Biro Angkasa. Golongan kakitangan kerajaan ramai yang menjadi mangsa, kerana mereka agak mudah untuk membuat pinjaman dari mana-mana koperasi sekarang ini. Ada juga sesetengah syarikat yang tidak memberikan terus produk terbabit dan hanya menggalakkan ahli baru mencari seberapa ramai mereka yang layak membuat pinjaman agar melabur dengan mereka. Akhirnya, berlakulah penipuan yang didalangi sebenarnya oleh Syarikat Jualan Langsung yang berdaftar itu. Syarikat terbabit amat gemar dengan kaedah ini kerana mereka boleh mengaut keuntungan yang berlipat ganda sebenarnya. Manakala leader pula akan menikmati ganjaran yang cukup lumayan apabila sistem ini diporgramkan sedemikian rupa. Misalnya kemasukan hanya RM200 sebagai ahli akhirnya menjadi RM20,000 dan diatur didalam sistem berkenaan secara sistematik. Strategi inilah yang dilakukan oleh mereka yang ditangkap semalam. Yuran kemasukan yang sepatutnya rendah menjadi RM2,000 atau RM4,000 atau RM11,000 atau RM41,000 yang berkenaan. Mereka memprogram dan memanipulasikan pelan perniagaan syarikat untuk kepentingan diri masing-masing. Syarikat tahu semuanya, namun mereka terpaksa akur kerana mereka juga mendapat pulangan besar dengan program yang dijalankan itu sebenarnya.

Gunakan Syarikat Berdaftar Untuk Kaburi Mata

Taktik menggunakan syarikat berdaftar untuk tarik pelanggan baru telah menjadi trend sekarang ini. Kebanyakkan syarikat yang digunakan itu berdaftar dengan kementerian dan ini memberi semangat kepada orang ramai untuk percaya dan menyertainya. Walhal, program skim cepat kaya yang dijalankan itu hanyalah dirancang bagi tempoh tertentu sahaja. Mereka akan menggunakan cek-cek yang tertera angka puluhan ribu ringgit untuk mengaburi mata orang ramai. Maka akhirnya ramailah yang terpengaruh dan terpedaya, akibat inginkan keuntungan yang dijanjikan. Apabila mereka mengamuk dan mahu mendapatkan kembali wang, mereka pula akan dipersalahkan dan banyak juga syarikat berkenaan yang ditutup secara tiba-tiba selepas mereka berjaya mencapai sasaran yang dikehendaki. Akhirnya yang kaya raya ialah "tokey syarikat" dan beberapa orang individu yang kononnya menjadi networker, walhal mereka ada proksi kepada syarikat yang berkenaan. Pihak kementerian gagal mengesan perkara ini kerana syarikat terbabit pada awalnya beroperasi secara sah. Inilah yang menjadi masalah besar sebenarnya.

Gunakan Artis Terkenal Sebagai Perangkap Ahli
Taktik menggunakan artis ini memang sudah menjadi trend pada masa ini. Artis terkenal dijadikan tarikan bagi menarik perhatian peminat-peminat untuk menyertai syarikat mereka. Dengan mengguna program yang telah diubahsuai dengan cantik untuk mengaburi mata orang ramai, akhirnya mereka melabur akibat percaya dengan cakap-cakap artis yang berkenaan. Lebih malang lagi ada artis terbabit yang turut ditipu oleh pihak yang terbabit seperti apa yang berlaku kepada Amy Search baru-baru ini. Semua ini adalah taktik jahat yang dilakukan secara terancang. Apabila target sudah dicapai maka akhirnya dengan artis-artis tersebut dipinggirkan. Akhirnya yang menjadi mangsa amukan dan kutukan ialah artis berkenaan, sedangkan pihak syarikat berpeluk tubuh dalam neghadapi situasi berkenaan. Ramai artis yang tertarik dengan ganjaran yang dinyatakan akhirnya tertipu dan turut menjadi mangsa. Akibatnya, nama mereka rosak dan maruah mereka juga tercalar gara-gara perbuatan tersebut. Inilah yang amat ditakuti oleh sebahagian besar artsi-artis kita pada masa ini. Pihak syarikat juga lebih suka menggunakan artis lama yang populariti mereka sudah merudum mutakhir ini. Ramai artis yang dipercayai menjadi mangsa tetapi malu mendedahkan penglibatan mereka.

[Banyak lagi pendedahan akan kami bongkarkan tentang kaedah penipuan skim cepat kaya alaf baru ini. Cuma apa yang kita mahukan agar pihak kerajaan serius untuk menangani kes-kes seperti ini. Jangan sekadar melepaskan batuk ditangga semata-mata. Tindakan tidak dikenakan sebaliknya mereka yang terbabit dilepaskan. Cuba lihat dalam isu saham internet, berapa ramai penganjur dan syarikat yang didakwa atas kesalahan yang berkenaan?. Mungkin ada seorang dua, tetapi beratus-ratus lagi terlepas daripada hukuman berkenaan. Mereka inilah ak hirnya memikirkan cara dan strategi baru untuk terus menipu dalam skim cepat kaya di negara kita. Akhirnya rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa dengan perbuatan mereka itu. Malah ada juga dikalangan penyokong Pakatan Rakyat yang turut terjebak ke kancah itu akibat terpedaya dengan pengaruh pihak atasan. Semoga ini dapat disedari oleh semua hendaknya].

1 comments:

MOH KEMBARA said...

Salam,
Thanx for the entry. Bagus utk peringatan kpd mereka yg suka nar melabur duit di tempat2 yg tak sepatutnya! Ziarah blog akak. Dah lama adik tak ziarah Mohkembara.blogspot.com!