Sunday, August 9, 2009

Belangkas bernilai di segi perubatan


JOHOR BAHRU 9 Ogos - Untuk mengenali belangkas amat mudah kerana hidupan laut itu sentiasa berjalan bersama (belangkas jantan di belakang) dan sebab itulah peribahasa mengatakan 'macam belangkas' bagi pasangan kekasih.

Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.

Namun begitu, belangkas bukanlah binatang dua alam kerana ia hanya boleh hidup tanpa air selama tiga hari selepas ditangkap.

Haiwan yang mempunyai ekor panjang dan tajam sehingga 51 sentimeter itu turut mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan dan mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula.

Belangkas bukan sahaja dikaitkan dengan makanan, peribahasa atau perjudian (judi belangkas), malah ia juga boleh digunakan dalam perubatan.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin, belangkas amat bernilai daripada segi perubatan dan darahnya mencecah sehingga USD5,000 seliter di Amerika Syarikat.

Katanya, darah belangkas mengandungi bahan yang boleh digunakan untuk mengesan virus, bakteria dan toksin serta mempunyai nilai tinggi dalam bidang perubatan.

"Ia binatang unik dan mempunyai banyak potensi dalam bidang perubatan dan juga kosmetik. Pasarannya memang ada terutama di peringkat antarabangsa," katanya.

Dr. Sulaiman berkata kajian Institusi Akuakultur Tropika UMT itu mendapati darah belangkas juga boleh dijadikan ubat untuk penyakit diabetes dan beberapa jenis penyakit lain yang masih di peringkat awal penyelidikan.

Institusi itu juga merancang untuk membina sebuah makmal pengesahan bernilai RM10 juta untuk menghasilkan produk berkenaan yang telah sedia untuk dihasil dan dipasarkan.

"Daripada segi pasaran, ia sememangnya tidak ada masalah kerana ekstrak darah belangkas sebagai kit perubatan mengesan ketulenan ubat telah beberapa tahun digunakan di beberapa negara Eropah, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Jepun.

"Produk perubatan daripada belangkas ditemui pengkaji Amerika Syarikat pada tahun 1975 dan ia mula dikomersialkan pada tahun 1988," katanya.

I